Entertainment

Wartawan Veteran Al-Jazeera Maut Ditembak Tentera Israel Di Tebing Barat

Wartawan Al-Jazeera yang disegani, Shireen Abu Aqleh, 51 tahun, dilaporkan maut ditembak tentera Israel ketika sedang membuat liputan serbuan yang dibuat di khemah pelarian dekat Tebing Barat, Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin dan Al-Jazeera mengesahkan berita kematian wartawan wanita berbahasa Arab itu.

Ditembak di kepala

Foto: Al-Jazeera

Memetik laporan AFP, wartawan veteran itu ditembak di kepala dan dibunuh tanpa rasa belas kasihan oleh tentera Israel. Shireen ditembak ketika sedang memakai topi keselamatan serta jaket ‘press’.

Pembunuhan terang-terangan, melanggar undang-undang dan norma antarabangsa, tentera Israel telah bunuh wartawan Al Jazeera tanpa belas kasihan di Palestin.

Selain itu, seorang lagi wartawan Al-Jazeera, Ali Samoudi turut tercedera selepas ditembak di bahagian belakang badannya. Ali kini dalam keadaan yang stabil, dan berkata bahawa tiada tentera Palestin berada di tempat kejadian ketika wartawan ditembak, menyelar kenyataan Israel yang mendakwa kemungkinan mereka ditembak pihak Palestin.

Kami mahu merakam operasi tentera Israel, tiba-tiba kami ditembak tanpa disuruh untuk beredar atau berhenti merakam.

Peluru pertama terkena saya, dan kedua terkena Shireen… tiada langsung pihak Palestin di tempat kejadian.

Dakwa wartawan ditembak pihak Palestin

Foto: AFP

Sebelum ini, Israel melaporkan pihaknya mengadakan satu operasi di tapak khemah pelarian di Jenin, yang didakwa sebagai kubu kuat kumpulan bersenjata Palestin di Utara Tebing Barat. Israel mendakwa berlaku insiden berbalas tembakan ketika serbuan dibuat dan ‘kemungkinan’ wartawan berkenaan terkena tembakan pihak Palestin.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 30 orang warga Palestin dan tiga anggota keselamatan Israel maut dalam tempoh yang sama.

Sumber: AFP, Al-Jazeera




Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close