News

Wajah Undang-Undang Antilompat semakin jelas

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Suasana sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 ketika Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat, semalam, memberi bayangan bahawa zaman Ahli Parlimen sesuka hati melompat parti bakal berakhir tidak lama lagi.

RUU ini bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, bertujuan memasukkan fasal baharu 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang Persekutuan.

Advertisement

Boleh dikatakan semua 59 Ahli Parlimen yang berbahas bersetuju terhadap keperluan undang-undang bagi menghentikan amalan melompat parti.

Cuma perbezaannya, setiap Ahli Parlimen mempunyai pandangan masing-masing mengenai pelbagai aspek berkaitan lompat parti yang sebenarnya lebih bersifat teknikal dan masih perlu diperhalusi bagi memastikan undang-undang itu lengkap, adil dan menyeluruh.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membangkitkan persoalan mengenai keperluan untuk mengkaji semula `ouster clause’ (klausa penyingkiran) dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menjelaskan bahawa apa-apa keputusan daripada parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah atas apa jua alasan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia, pula mencadangkan bahawa Ahli Dewan yang mengundi bertentangan dengan kehendak parti politik di Parlimen juga dikategorikan sebagai lompat parti.

Beberapa Ahli Parlimen, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengemukakan persoalan mengenai keperluan Perkara 48(6), iaitu tempoh masa bertenang selama lima tahun kepada Ahli Parlimen dimansuhkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika penggulungan menjawab hampir semua isu dibangkitkan dengan jaminan bahawa semua perkara berkenaan dan juga cadangan akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas.

Jawatankuasa itu ditubuhkan melalui satu usul yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, bagi membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Dr Wan Junaidi sebagai pengerusi bersama 10 Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang yang dipilih menganggotai jawatankuasa itu, dipertanggungjawabkan memastikan undang-undang antilompat parti diterima oleh semua pihak.

Ini juga memastikan RUU itu apabila dibentangkan di Dewan Rakyat yang dijangka Julai akan datang, diluluskan dengan undi majoriti.

Namun, nada harmoni jelas dilihat dalam Mesyuarat Khas dengan Ahli Parlimen pembangkang memberi penghargaan kepada kerajaan kerana berusaha merealisasikan undang-undang ini, manakala Dr Wan Junaidi mendapat pujian kerana komitmen bersungguh-sungguhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melihat pembentangan RUU ini sebagai satu manifestasi ke arah politik yang lebih sihat dan berpaksikan kepentingan rakyat serta menzahirkan rasa puas hati terhadap penyatuan Ahli Parlimen pada mesyuarat itu.

“Malaysia ke arah kestabilan politik yang lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” kata Ismail Sabri dalam catatan di Facebooknya.

Beliau berkata, blok kerajaan dan pembangkang turut senada dan harmoni untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas bagi meneliti pindaan Perlembagaan yang lebih khusus mengenai lompat parti serta mewujudkan Akta Antilompat Parti.

Ahli Parlimen mendapat mandat rakyat melalui proses pilihan raya

Undang-undang bagi menghukum Ahli Parlimen yang lompat parti penting untuk mewujudkan kestabilan politik di negara ini yang kelihatan agak rapuh sejak kebelakangan ini.

Bayangkan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), negara mempunyai tiga Perdana Menteri dan Ahli Parlimen yang melompat parti mencecah 39 orang.

Dr Wan Junaidi melihat ini sebagai suatu isyarat yang jelas menunjukkan bahawa amalan demokrasi negara kini adalah tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan.

Malah Ahli Parlimen tanpa mengira parti ketika perbahasan melahirkan rasa bimbang kerana amalan melompat parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya. Keadaan ini menimbulkan banyak perdebatan dan polemik di kalangan masyarakat kerana melibatkan mandat rakyat yang memilih wakil di Dewan Rakyat.

Lebih membimbangkan jika keadaan ini membawa kepada ketidakstabilan politik yang sebenarnya turut dinilai oleh komuniti antarabangsa.

Mengikut laman net The Global Economy yang menyediakan knowledge ekonomi dan perniagaan 200 negara, Indeks Kestabilan Politik Malaysia pada 2020 ialah 0.12, iaitu pada kedudukan 15 di kalangan negara Asia dengan Singapura sebagai negara paling stabil (1.47).

Amalan melompat parti sebenarnya turut berlaku di negara lain dengan istilah yang sering digunakan seperti “defection”, “party jumping” atau “floor crossing” yang boleh diterjemahkan sebagai pembelotan parti dan bertukar kesetiaan kepada parti.

Senator Vermont, Jim Jeffords, mengubah keseimbangan kuasa di Dewan Senat Amerika Syarikat, apabila meninggalkan Republikan untuk menjadi Senator bebas pada Mei 2001.

Di New Zealand pada 1997 dan 1998, ahli politik yang melompat mengekalkan kerajaan minoriti berkuasa selama beberapa bulan, tindakan yang menimbulkan kemarahan parti pembangkang sehingga mereka berikrar untuk memperkenalkan undang-undang mengharamkan amalan itu.

Pada Disember 2001, New Zealand meluluskan Akta Pindaan Pilihan Raya (Integriti) untuk menghentikan amalan lompat parti yang melanda negara itu antara 1996 hingga 1999.

Walaupun tiada jaminan bahawa undang-undang mampu menangani sepenuhnya amalan lompat parti, namun sekurang-kurangnya Jawatankuasa Pilihan Khas yang turut boleh mendapatkan pandangan pakar undang-undang dan perlembagaan serta pelbagai pihak lain boleh menyediakan undang-undang yang lebih baik.

Apa pun, rakyat kini boleh menaruh harapan untuk melihat amalan lompat parti berakhir dan mewujudkan budaya politik yang lebih jujur dan beretika serta menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda perjuangan.- HARAKAHDAILY 12/4/22

Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close