News

Ulamak benteng muafakat umah, bukan berpecah

Oleh SYAHIRAH SALLEH

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ulamak perlu berperanan sebagai benteng muafakat umah, bukannya berpecah sehingga sukar untuk disatukan, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Senator Ahmad Yahaya.

Menurutnya, amat janggal jika masyarakat lebih bersatu dan bermuafakat berbanding ulamak yang peranannya adalah menjadi benteng muafakat umah.

“Jangan sampai masyarakat boleh bermuafakat, namun ulamak kita sukar disatukan, bahkan berpecah,” katanya semasa merasmikan Majlis Berbuka Puasa Tuan Guru – Tuan Guru Pondok Pahang, di Pondok Darul Ridhuan, di Maran, Pahang, semalam.

Majlis anjuran Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia (PMPS) Pahang itu turut dihadiri Tuan Guru-Tuan Guru dan wakil daripada 30 buah pondok di Pahang, dengan membawa mesej dan hasrat sama, iaitu menyatukan halatuju dan matlamat pondok-pondok pengajian demi agenda penyatuan dalam kalangan pondok di negeri itu.

Turut hadir dalam majlis sama, Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Zuridan Mohd Daud dan Pengerusi PMPS Pusat, Marzuki Yusof.

Dalam majlis sama, terdapat juga serahan Sijil Pendaftaran Pertubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan dan Dewan Ulamak PAS Pahang selain tausiah daripada Pengasas Pondok Darul Ridhuan, Chenor, Tuan Guru Mohd Baqi Osman serta bantuan Prihatin Ramadan kepada asnaf berkelayakan. – HARAKAHDAILY 19/4/2022

Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.