News

Tuhan susun perjalanan saya dengan baik

HANOI: Berjaya menggondol dua pingat emas dalam temasya di mana dia turut terpilih sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan membuatkan Nur Dhabitah Sabri percaya, Tuhan telah mengatur perjalanannya dengan cukup sempurna.

Hari ini, penerjun berusia 22 tahun itu menggondol pingat emas keduanya dalam Sukan SEA Vietnam apabila menjuarai acara 10 meter (m) platform seirama bersama rakan baiknya, Datuk Pandelela Rinong.

Ahad lalu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu menerima penghormatan sebagai pemenang pingat emas pertama dalam edisi ke-31 Sukan SEA selepas menjuarai acara 1m papan anjal.

Pandelela kini sudah menggondol sembilan emas sejak membuat penampilan pertama dalam Sukan SEA di Korat pada 2007, Nur Dhabitah pula memenangi emas keenam.

AKSI Nur Dhabitah Sabri dan Pandelela Rinong ketika memenangi pingat emas 10 meter platform seirama di Pusat Akustik My Dinh, Hanoi hari ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Malam esok, Nur Dhabitah akan menikmati satu lagi yang bersejarah buat dirinya apabila menggalas tugas membawa bendera Malaysia dalam upacara pembukaan di Hanoi.

“Saya rasa Tuhan telah susun perjalanan saya dengan sangat cantik…Dipilih sebagai pembawa bendera, kemudian saya merangkul emas pertama untuk Malaysia dan saya menamatkan acara terjun Sukan SEA dengan merangkul emas.

“Saya rasa kita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan menerusi kerja keras semua atlet terjun, walaupun banyak juga cabaran yang perlu ditempuhi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Pandelela, biarpun ramai yang melihat emasnya di Sukan SEA tidaklah sehebat kejayaan memenangi perak dan gangsa Sukan Olimpik, namun ia tetap istimewa buat dirinya.

“Banyak cabaran yang saya lalui sebelum mencapai kejayaan ini, termasuk menguruskan kecederaan sendiri kerana kita bukan muda lagi, jadi banyak rawatan diperlukan. Tetapi kami dapat menampilkan terjunan yang baik, kami berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.

Gandingan itu dijangka mengambil rehat pendek sebelum kembali menjalani latihan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Budapest bermula 26 Jun hingga 3 Julai, diikuti Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close