News

Tak payah tunggu hari raya, setiap hari saya terkenang akan dia – Fauziah Nawi

“Setiap kali menjelang hari raya, dia datang. Pasang lampu dan bersihkan rumah. Sudah nak masuk tiga tahun dia tak ada,” dalam sayu, pelakon veteran, Fauziah Nawi mengenang anaknya, Allahyarham Mohd. Firdaus Mohamad Hanif atau Pitt Hanif yang dijemput Ilahi Oktober 2019.

Allahyarham Pit yang juga pengarah terkenal, ditemukan lemas ketika memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang.

Hampir tiga tahun insiden menyayat hati itu berlalu. Fauziah tidak sedetik pun melupakan. Hanya doa dipanjatkan, dari seorang ibu untuk anaknya ‘di sana’.

Mengingati seorang Pitt, terlalu banyak memori tentang arwah yang masih tersimpan. Fauziah menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pembersih yang selalu menceriakan.

“Kalau datang rumah saya lewat malam pun dia bersihkan. Dia sapu. Pantang betul dia tengok rumah kotor. Begitu juga setiap kali ziarah kubur arwah nenek, datuk, ayah dan mertuanya. Dia bersihkan. Itu rutin arwah menjelang hari raya.

“Pada pagi raya, kami dan saudara mara akan berkumpul ramai-ramai. Pittlah yang paling sibuk. Panggang memanggang, uruskan sesi bergambar dan buat video.

“Suka mengusik dia itu. Menceriakan. Gamatkan suasana. Dia sepupu paling tua. Amat menyayangi sepupu-sepupu dia. Dah tiga tahun dia tak ada. Hari raya sunyi jadinya. Semua rindukan dia,” kongsinya.

Bercerita mengenai makanan kegemaran arwah, kata Fauziah yang mesra disapa ibu, Pitt sekeluarga amat menggemari kari kambing yang menjadi menu penting setiap kali menyambut hari raya.

Katanya, arwah, bersama isteri, Farah Ahmad dan anak-anak antara yang paling bersemangat menjamu juadah yang disediakan pagi syawal.

“Saya tempah ketupat palas dengan kuah kacang. Itu kegemaran dia orang. Tapi yang paling mereka suka rendang dan kari kambing yang saya masak sendiri. Saya cerewet sikit. Lauk pauk saya akan masak. Tak tempah.

“Pitt juga suka sangat roti yang dibuat sendiri oleh kakak ipar saya. Dia akan cari itu. Jadi setiap kali raya, kakak ipar saya bawa roti itu untuk kami makan bersama-sama,” ceritanya lagi.
Dilayangkan soalan tentang kerinduan, ternyata nada suara wanita 68 tahun ini berubah. Ibu mana tak rindukan anak yang sudah tiada?

“Yang paling saya rindukan, setiap kali dia balik, kalau tengok saya tidur, dia akan selimutkan. Macam saya katakan, dia pembersih dan tolong kemas rumah saya. Sebiji macam arwah bapanya.
“Tak payah tunggu hari raya, setiap hari saya terkenang akan dia. Rindukan dia. Mana Pitt pergi?

“Saya reda. Ini semua kuasa Allah. Saya tak tahu nak katakan macam mana lagi. Kekuatan dia yang bagi. Tapi… pedih. Macam mana saya menahan? Tak tahu nak cakap,” ujarnya.

TAK MAHU SAMBUT RAYA
Bercerita soal lebaran, Fauziah berkata, tiada sambutan dan kemeriahan untuk dirinya. Hanya meraikan bersama ahli keluarga terdekat. Mungkin itu caranya untuk memudahkan. Menerima hakikat Pitt sudah tiada.

“Saya tak nak sambut raya. Kalau ada pun masak untuk keluarga sahaja. Pada orang luar saya dah maklumkan, saya tak sambut raya, jadi tak perlu datang,” tegasnya.

Ujar Fauziah, tidak ada perkara lain, selain doa yang dipanjatkan untuk semua ahli keluarga yang lebih dahulu pergi meninggalkan dia.

Katanya, dia mengharapkan agar mereka semua tenang di sana, bersama para solihin dan orang-orang beriman.

Biar Tuhan kekalkan rindu ini – Farah Ahmad
Hanya Allah sahaja tahu betapa tabahnya pelakon, Farah Ahmad menjalani kehidupan tanpa arwah suami, Pitt Hanif di sisi dia dan anak-anak.

Terlintas dalam memori penulis berkenaan sebuah rakaman video hari raya yang menunjukkan telatah Farah dan Allahyarham Pitt bersama anak-anak dalam perjalanan menuju ke rumah ibu Fauziah di Taman Melati.

Diminta bercerita rutin menjelang Syawal, Farah memberitahu dia dan suami serta anak-anak akan pergi ke jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk membeli belah di hujung-hujung waktu. Kata Farah, itu adalah satu kenangan yang paling diingati sampai sekarang.

“Pada malam menjelang raya, selalunya kami satu keluarga akan pergi jalan TAR. Nikmati suasana, melihat orang berasak-asak membeli belah. Saya akan pegang bahu arwah dan ikut dia jalan. Kami makan jagung bakar sambil melihat gelagat orang ramai.

“Lepas itu, makan steamboat tepi jalan. Sampai awal pagi, baru pulang ke rumah,” katanya.

Antara kenangan lain bersama arwah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah momen-momen memilih pakaian untuk tampil sedondon di pagi syawal. Kata Farah, dia dan anak-anak akan mengutamakan pilihan arwah dalam membuat pilihan warna.

“Memang kelakar. Selalu, suami akan cari baju Melayu selepas isteri dan anak-anak buat pilihan. Mereka akan ikut warna pilihan isteri untuk nampak sedondon. Tetapi, kami pula, sebaliknya. Saya akan ikut pilihan arwah dulu. Cari kain dia dulu. Jenis dan warna apa yang dia pilih. Kemudian baru saya dan anak-anak akan tempah ikut pilihan dia. Bagi yang kenal arwah, mereka tahu dia jarang pakai seluar panjang. Dalam almari ada beberapa helai sahaja. Jeans pun boleh dikira, sehelai dua.

“Bila buat baju Melayu, saya akan cari material kain yang selesa untuk arwah, yang membuatkan dia pakai dari pagi sampai ke petang. Baju Melayu dia tak ada yang cekak musang, semua teluk belanga. Saiz pula yang besar-besar. Jadi, dahulu kalau orang tanya saya pasal baju raya, saya akan jawab ‘kita settle Pitt dulu’,” ceritanya lagi.

KEKUATAN, KETABAHAN

Bukan mudah wanita ini untuk terima kenyataan, Pitt sudah tiada. Namun seboleh-bolehnya dia mahu menjadi kuat, demi anak-anak yang masih membesar.

Farah mengakui dia masih menyimpan kesedihan sedalam-dalamnya. Namun, baginya biar kesedihan dan kerinduan itu yang menjadi asbab kekuatan.

“Sedih memanglah sedih. Rindu, apatah lagi. Tetapi mungkin cara kami terima yang dia sudah tak ada, itu yang berbeza. Saya dan anak-anak, kalau rindu dekat dia, kami akan ingat momen-momen dengan dia sebab kami sekeluarga selalu bersama. Bila teringat, kami gembira. Orang tanya, kami tak rindu kepada arwah? Rindu. Tapi, mengingati dia buat kami gembira. Sebab itu saya katakan, biar Tuhan kekalkan rindu ini. Ini sahaja semangat yang ada untuk kami anak beranak.Tak ada perasaan rindu itu, kami tak tahu nak berbuat apa.

“Anak-anak faham. Saya selalu pesan pada dia orang, yang tak ada hanya jasad sahaja. Sekarang memori disimpan dalam pelbagai cara. Ada video, rakaman suara dan sebagainya. Bila teringat dia, kami akan ketawa. Orang yang sudah tak ada Ini, apa sahaja yang mengingatkan tentang dia, semuanya akan menjadi manis.

“Saya simpan segala rakaman suara, video kami anak beranak dengan arwah. Dia pernah tegur, kenapa saya suka penuhkan memori telefon dengan semua itu. Saya kata tidak. Semua itu hiburan saya. Masa dia ada pun, saya selalu tengok video kami sekeluarga,” ujarnya.

Namun apa yang pasti, tidak sesekali ibu empat orang anak ini mengabaikan ibu mertua yang juga pelakon hebat, Fauziah Nawi.

Doanya agar dia diberikan kudrat untuk terus mengekalkan kasih sayang dan keakraban yang ada, sampai bila-bila.

“Saya cerai mati. Ibu Fauziah masih lagi ibu mertua saya dan kami rapat sampai sekarang, sama seperti ketika arwah masih ada. Saya dah berkawan lama dengan ibu, bekerja dengan dia dalam satu kumpulan teater. Sampai sekarang saya bantu dia dalam kelas lakonan yang dikendalikannya.

“Tanggungjawab saya untuk menjaga seorang Fauziah Nawi. Dari dahulu saya melakukannya. Alhamdulillah, sampai sekarang. Sekarang saya hanya fikirkan tanggungjawab. Kerja pun cari duit untuk anak-anak, sara hidup, bawa mereka jumpa nenek dia orang. Perkara yang sama.

“Selagi Tuhan bagi kudrat, Insya-Allah apa yang ada dahulu akan terus kekal sampai bila-bila,” katanya.



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close