News

Saksi dedah Najib, keluarga bercuti naik kapal layar atas jemputan Putera Kuwait

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Najib Razak dan
ahli keluarganya telah bercuti atas kapal layar ke selatan Perancis,
perairan Greece dan Itali sejak 2009 hingga 2013 atas jemputan Putera
Kuwait, Putera Saudi dan Putera Abu Dhabi.

Bekas pegawai khas kepada Najib, Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, 48,
berkata setiap maklumat berkaitan destinasi percutian itu dimaklumkan
kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, pada Ogos 2009, beliau telah
dihubungi oleh Jho Low dan memaklumkan bahawa Najib sekeluarga akan
bercuti di selatan Perancis atas jemputan seorang Putera Kuwait dan
seorang sahabatnya bernama Syeikh Hamed di atas kapal layar milik mereka
iaitu RM Elegance.

Wan Ahmad Shihab berkata, Jho Low juga telah memberikannya nombor
telefon seorang lelaki bernama Mr Sahle untuk membuat persiapan
percutian itu.

Beliau kemudian mengesahkan perkara tersebut dengan Najib sebelum
menghubungi Mr Sahle untuk memberikan maklumat rombongan percutian
tersebut termasuk senarai nama keahlian rombongan, tempoh percutian dan
segala keperluan yang diperlukan di sana.

“Percutian tersebut turut disertai oleh Rosmah Mansor, anak-anak
beliau iaitu Nor Ashman, Nooryana Najwa dan Riza Shahriz Abdul Aziz.
Selain itu terdapat juga kawan-kawan Najib termasuk Bustari Yusuf dan
seorang anaknya.

“Jumlah keseluruhan peserta rombongan percutian tersebut adalah lebih
kurang 20 orang termasuk pegawai pengiring serta pembantu rumah,”
katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama
oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Ketika menceritakan lebih lanjut mengenai percutian di Selatan
Perancis itu, Wan Ahmad Shihab berkata pada hari kedua atau ketiga
pelayaran, Najib telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat seorang
Putera Saudi berada di sebuah kapal lain yang berdekatan dan beliau
telah menjemput Najib sekeluarga untuk minum petang di atas kapal
mereka.

“Saya kemudian telah memaklumkan kepada Mr Sahle untuk menyediakan
bot kecil untuk kami pergi ke kapal Putera Saudi tersebut. Seingat saya
nama Putera Saudi tersebut adalah Putera Turki.

“Setibanya kami di kapal tersebut, kami telah disambut oleh Putera
Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek
Obaid,” katanya sambil menambah beliau tidak tahu apa tujuan pertemuan
tersebut dan ketika beliau masuk ke ruang tamu kapal itu, beliau
mendapati Jho Low telah berada dalam kalangan mereka.

Menceritakan mengenai percutian kedua iaitu di perairan Greece dan
Itali pada pertengahan 2010, Wan Ahmad Shihab berkata Jho Low
memberitahunya bahawa seorang Putera Saudi menjemput Najib dan
keluarganya untuk bercuti di atas kapal layarnya sebelum memberikan
nombor telefon kapten kapal Mike Hitch.

“Rombongan tersebut disertai lebih kurang 17 orang termasuk Najib,
Rosmah, Riza Shahriz, Nooryana Najwa, Nor Ashman, saya sendiri,
pegawai-pegawai pengiring serta seorang rakan Najib. Setibanya di
Athens, Greece, kami telah disambut oleh Mike Hitch dan terus dibawa
menaiki kapal Golden Odyssey.

“Setibanya kami di atas kapal tersebut, saya dapati Bustari dan
beberapa kenalan Najib yang lain telah berada di atas kapal tersebut.
Mereka juga hadir sebagai ahli rombongan percutian tetapi mereka menaiki
penerbangan komersial yang mereka uruskan sendiri dan tiba sehari lebih
awal di situ,” katanya.

Mengenai percutian itu, saksi berkata pada hari kelima pelayaran di
atas kapal Golden Odyssey, beliau telah dihubungi oleh seorang wanita
bernama Natasha iaitu rakan kepada Rosmah melalui SMS dan menanyakan
maklumat di mana kapal akan berada sekiranya sampai di Rome kerana
beliau (Natasha) ingin membawa beberapa orang tetamu untuk berjumpa
dengan Rosmah.

“Saya terus memaklumkan Natasha melalui e-mel mengenai lokasi kapal
akan berlabuh apabila berada di Rome dan saya juga memberikan nombor
kapten Mike Hitch untuk beliau berhubung terus. Setelah kapal berlabuh
di Rome, selang sehari selepas itu saya ternampak Natasha telah berada
di atas kapal bersama dengan Rosmah.

“Saya tidak begitu mempedulikan beliau kerana saya tidak begitu
mencampuri urusan Rosmah. Di penghujung lawatan tersebut, saya telah
pulang dahulu ke Malaysia dengan menaiki pesawat komersial dari Lapangan
Terbang Cote D’azur, Nice, Perancis kerana saya ada urusan persendirian
yang perlu saya uruskan,” katanya.

Mengenai percutian pada 2013, Wan Ahmad Shihab berkata Najib
sekeluarga telah dijemput untuk bercuti di Selatan Perancis di atas
kapal layar Topaz milik Sheikh Mansour, seorang Putera dari Abu Dhabi,
yang turut kelihatan adalah Mohamed Badawy Al-Husseiny iaitu pengarah
syarikat Aabar Investments PJS bersama Robert Baker, seorang jurulatih
golf profesional.

Wan Ahmad Shihab berkata pada malam itu seorang yang dikenali sebagai
Robert Shepherd memaklumkan bahawa beliau sedang bersiap menyambut Riza
Aziz untuk datang ke kapal Topaz dan semasa Riza Aziz tiba di kapal
Topaz, beliau mendapati Jho Low dan Joey McFarland (producer filem Wolf
Of Wall Street) turut serta bersama dengan Riza Aziz.

“Saya tidak tahu apa tujuan Jho Low dan Joey McFarland hadir bersama
tetapi saya menganggap mereka hadir untuk bersama-sama menikmati
percutian tersebut. Sepanjang Jho Low dan Joey McFarland berada di atas
kapal tersebut, saya nampak hampir setiap masa mereka sentiasa bersama
dan kedengaran perbualan mereka banyak tertumpu berkaitan pembikinan
filem untuk Hollywood,” katanya.

Wan Ahmad Shihab berkata tiada sebarang pembayaran penginapan
dikenakan terhadap ketiga-tiga percutian itu kerana Najib dan
keluarganya bercuti atas jemputan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan
beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21
pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

…………oo000oo………..
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat
Whatsapp
Telegram
Facebook
Emel kepada MR
Twitter
RSS

©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close