News

Pusat jagaan kanak-kanak perlu didaftar dengan JKM

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak yang belum berdaftar perlu mengambil tindakan segera mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pengusaha pusat jagaan juga perlu menjalani kursus asas melibatkan kemahiran penjagaan kanak-kanak.

Katanya ia sebagai syarat utama yang ditetapkan sebelum didaftarkan di bawah JKM.

Advertisement

“Pihak terlibat perlu segera berdaftar kerana ia dapat memudahkan pegawai penguatkuasa khas untuk memantau pusat-pusat jagaan.

“Ia juga supaya kes-kes yang tidak diingini terutama keselamatan kanak-kanak lebih terjaga terutama melibatkan anak istimewa,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Muqarrabun peringkat negeri di Pusat Tarbiyah Islamik (PUTIK) hari ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Pengarah JKM Kelantan Said Sidup.

Siti Zailah juga berkata, kementerian bersama pihak terlibat kini dalam usaha melakukan pemutihan bagi memastikan setiap pusat jagaan memiliki sijil perakuan daripada JKM.

Menurutnya langkah pemutihan dilakukan bagi membantu pengusaha dan meningkatkan tahap jaminan keselamatan anak-anak.

“Oleh itu, bagi mereka yang masih belum berdaftar perlu membuat pendaftaran segera sebelum tindakan lanjut diambil kerajaan terhadap pengusaha yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

“Pihak kementerian ada juga menerima beberapa cadangan untuk menutup mana-mana pusat jagaan yang tidak berdaftar.

“Namun, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu kerana ia boleh memberi kesan kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan terbabit,” katanya.

Ditanya mengenai kes membabitkan adik Bella, beliau berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan sebaiknya. – HARAKAHDAILY 21/4/2022

Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close