News

Pfizer sedia 10 juta set rawatan pil COVID kepada negara sedang membangun

NEW YORK: Pfizer Inc dijangka menyediakan kira-kira 10 juta set rawatan antivirus COVID-19 Paxlovid kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana untuk tahun ini, menurut seorang pegawai Global Fund, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penjagaan kesihatan.

Ketua strategi dasar Global Fund, Harley Feldbaum, berkata Pfizer komited sekurang-kurangnya untuk dos sebanyak itu dan boleh meningkatkan penghantaran jika organisasi terbabit menunjukkan mereka dapat mengedarkan pil dengan baik, dengan menyatakan kebanyakannya akan tersedia menjelang akhir tahun.

“Itu jelas tidak memadai atau mencukupi” untuk memenuhi keperluan di negara berkenaan, kata Feldbaum, ketika mesyuarat dalam talian NGO, aktivis dan ahli akademik yang dihoskan oleh kumpulan advokasi pengguna berpengaruh Public Citizen.

Tidak jelas sama ada terdapat pembiayaan tersedia secara global untuk membeli pil dan membayar infrastruktur diperlukan untuk mengedarkannya.

Pfizer berkata ia akan mengenakan caj lebih rendah untuk ubat itu di negara berpendapatan rendah, tetapi tidak mendedahkan harganya. Bagi negara kaya, ia merancang untuk mengenakan bayaran kira-kira AS$700 (RM2,936) setiap kursus atau set rawatan walaupun perjanjian Amerika Syarikat (AS) mengenakan Paxlovid pada harga AS$530 (RM2,223).

“Kami bekerjasama dengan ACT-A mengenai pembekalan Paxlovid untuk negara berpendapatan sederhana rendah dan rendah sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap akses saksama untuk rawatan oral COVID-19,” kata jurucakap Pfizer, Kit Longley dalam satu kenyataan tanpa memberikan butiran

Global Fund adalah sebahagian daripada perkongsian ‘Access to COVID-19 Accelerator’ (ACT-A), usaha kerajaan dan NGO seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan ujian, rawatan dan vaksin untuk negara berpendapatan rendah.

Pfizer berkata ia merancang untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 120 juta set rawatan tahun ini. Itu jauh lebih rendah daripada sasaran syarikat mengenai pasaran 2022 untuk pil antivirus sebanyak 250 juta orang di seluruh dunia.

Paxlovid dijangka menjadi alat utama dalam merawat COVID-19 selepas ia mengurangkan kemasukan ke hospital dalam pesakit berisiko tinggi kira-kira 90 peratus dalam percubaan klinikal.

Hasilnya jauh lebih baik berbanding percubaan klinikal molnupiravir antivirus oral Merck Inc.

Pfizer telah menandatangani kontrak untuk hampir 30 juta set rawatan, hampir keseluruhannya ke negara berpendapatan tinggi, menurut Knowledge Ecology International. – REUTERS

© New Straits Times Press (M) Bhd

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.