News

Peniaga mengeluh terpaksa angkut air

ALOR SETAR: Peniaga kedai makan di Pokok Sena di sini mengeluh apabila terpaksa me­ngangkut air untuk meneruskan perniagaan berikutan gangguan bekalan di kawasan tersebut belum pulih selepas ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Terusan Tengah, Pelubang pecah sejak Isnin lalu.
Kebanyakan kawasan di Pokok Sena masih tiada air walaupun kerja-kerja membaiki ban dilakukan sejurus selepas ban tersebut pecah.

Seorang peniaga, Sobri Wahab, 60, berkata, dia yang berniaga kedai makan di Taman Desa Ilmu terpaksa mengangkut air sejauh 500 meter dari rumahnya di Taman Utama untuk meneruskan perniagaan.

“Kerana masalah air, saya hanya boleh memasak 25 menu berbanding 40 menu untuk dijual kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ramli Wahab, 52, pula berkata, dia mengangkut air menggunakan kereta sejauh 15 kilometer dari Kampung Rambutan, Kuala Nerang dekat sini untuk memastikan premisnya di sini dapat dibuka seperti biasa.

“Saya berulang-alik empat kali sehari mengangkut air bagi kegunaan memasak dan membasuh pinggan. Saya terpaksa berniaga bagi menampung per­belanjaan harian anak-anak yang masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, sejak berlaku gangguan bekalan air, ramai pe­langgan yang membeli lauk di kedainya kerana mereka sendiri tidak dapat memasak ekoranke­tiadaan air di rumah masing-masing.

Sementara itu, Md. Zain Hassan, 57, dari Taman Bandar Baharu, Pokok Sena berkata, dia terpaksa menutup kedai makannya kerana tiada bekalan air sejak kelmarin.

Katanya, pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) membekalkan air menggunakan lori tangki tetapi tidak mencukupi untuk meneruskan perniagaan.
“Saya bukan sahaja menjual makanan tetapi turut menjual air minuman. Oleh itu, saya tidak dapat meneruskan perniagaan dan terpaksa menutup sehingga bekalan air pulih kembali,” katanya.-UTUSAN

 

 



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.