News

Malaysia tegas warga asing tanpa dokumen

SEPANG: Kerajaan terpaksa menahan semula tahanan Rohingya yang lari dari depot tahanan awal pagi semalam sebagai menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap isu kemasukan warga asing tanpa dokumen ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan pada dasarnya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mahu memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Beliau berkata, semua tahanan itu tiada dokumen dan penahanan mereka tertakluk kepada undang-undang di negara ini.

“Jika kita nak hantar balik, kita nak hantar balik mana? Ini yang menjadi masalah kepada kita. Kita juga tidak boleh menghantar mereka pulang ke Myanmar berikutan kerajaan negara itu tidak mengiktiraf pelarian Rohingya itu sebagai warganegaranya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga KDN, hari ini.

Katanya, kerajaan menahan mereka selama ini atas dasar perikemanusiaan namun, ia tidak bermakna kerajaan mengiktiraf keberadaan mereka di negara ini.

Hamzah berkata, jika tahanan itu dilepaskan maka, ia akan memberi persepsi bahawa sesiapa sahaja boleh datang ke negara ini tanpa dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, setakat ini, seramai 424 tahanan sudah ditangkap semula dan baki 104 yang masih hilang kini sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Dalam kejadian 4.30 pagi semalam, 528 tahanan etnik Rohingya bertindak melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Difahamkan, tahanan berkenaan didapati memecahkan pintu blok dan besi penghadang sebelum melarikan diri. – UTUSAN



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close