News

Mahkamah diberitahu pengurusan 1MDB mesyuarat di London bincang dana tambahan RM1 bilion

Mahkamah Tinggi hari ini
diberitahu bahawa mesyuarat ahli lembaga Pengarah 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) diadakan di London pada 16 Mei 2011 bagi membincangkan
mengenai perjanjian pelaburan tambahan RM1 bilion, usaha sama
1MDB-PetroSaudi menerusi perjanjian pembiayaan Murabaha.

Bekas setiausaha syarikat 1MDB Goh Gaik Kim, 54, yang turut
menghadiri mesyuarat itu bersama Che Lodin Wok Kamaruddin, Shahrol Azral
Ibrahim Halmi, Ismee Ismail, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand,
berkata rancangan untuk mengadakan mesyuarat di Hotel Hilton, London
dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata demikian ketika membacakan
pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak
berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Wanita itu yang dirujuk dengan minit mesyuarat bertarikh 16 Mei 2011
berkata sebelum mesyuarat itu bermula Jasmine Loo yang merupakan peguam
1MDB, telah menyerahkan tiga set dokumen kepadanya untuk simpanan iaitu
resolusi ahli lembaga pengarah, resolusi pemegang saham biasa dan
resolusi pemegang saham keutamaan.

“Dokumen-dokumen ini adalah berkaitan dengan pelaburan tambahan RM1
bilion di bawah perjanjian pembiayaan Murabaha dengan 1MDB-PetroSaudi.
Kesemua dokumen ini telah siap ditandatangani oleh semua ahli lembaga
pengarah 1MDB dan Najib. Bagaimanapun, perkara ini (dokumen tersebut)
tidak dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan,” katanya.

Di dalam mesyuarat tersebut, saksi berkata terdapat beberapa perkara
penting yang dibincangkan termasuk pembentangan yang dibuat oleh Jasmine
Loo mengenai perjanjian pembiayaan Murabaha.

Goh yang kini merupakan setiausaha syarikat TRX City Sdn Bhd berkata
pada keesokan hari selepas mesyuarat tersebut beliau pulang ke Malaysia.

“Saya ada menerima jadual lawatan tersebut. Seingat saya, terdapat
beberapa occasions yang diadakan sebelum atau selepas mesyuarat ahli
lembaga pengarah, tetapi saya hanya menghadiri mesyuarat ahli lembaga
pengarah sahaja,” kata Goh yang mula berkhidmat sebagai Setiausaha
syarikat 1MDB pada 31 Mac 2011 sebelum berhenti pada 1 April 2016.

Pada prosiding 2019, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral
memberitahu mahkamah bahawa pada 2011, Najib telah meluluskan dana
tambahan RM1 bilion dalam perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk
mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21
pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

…………oo000oo………..
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat
Whatsapp
Telegram
Facebook
Emel kepada MR
Twitter
RSS

©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close