News

Keluarkan kenyataaan isu Hakim Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali susulan dakwaan yang dibuat sebuah portal. 

Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz berkata, sekiranya perkara tersebut benar, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhak  dibicarakan semula oleh hakim lain manakala segala hukuman dijatuhkan dimansuhkan kerana konflik kepentingan. 

“Kami bukan menyatakan beliau (Mohd. Nazlan) bersalah, tidak. Kami mohon SPRM segera siasat adakah beliau terlibat secara langsung dalam SRC International Sdn Bhd (SRC) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Maka kes Najib harus berpatah balik ke Mahkamah Tinggi dan seluruh hukuman terhadapnya dibatalkan dan beliau harus dibicara semula,” katanya selepas membuat laporan ke SPRM di sini hari ini. 

Ujarnya, perkara tersebut bukan hanya berkaitan maruah Najib malah kepada parti UMNO sendiri kerana ia akan menjadi modal pihak pembangkang memainkan isu tersebut. 

Dalam pada itu, Syed Muhammad Imran berkata, selain Mohd. Nazlan, laporan ke SPRM turut dibuat berkaitan dakwaan penglibatan secara langsung Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul dalam SCR dan 1MDB. 

Pada 20 April lalu, blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd. Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang melibatkan Najib.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today, Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Susulan itu, Mohd. Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now needs choose Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu.

 Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media dipetik berkata, tuduhan tersebut adalah palsu, tidak berasas serta berniat jahat. – UTUSAN

 



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.