News

Jawatankuasa bersama UMNO-MB Johor ibarat dua nakhoda satu kapal

PEMBENTUKAN jawatankuasa bersama antara UMNO Johor dengan kerajaan
negeri dilihat langkah terbaik merapatkan jurang perbezaan bagi
membentuk pentadbiran berkesan. Apatah lagi ini kali pertama menteri
besar dilantik bukannya pemimpin utama menjawat jawatan Pengerusi
Perhubungan.

Langkah penubuhan itu juga diramal mampu menyejukkan suhu politik
negeri, terutama hubungan antara ketua parti dengan ketua kerajaan
negeri supaya mempunyai haluan sama dalam memakmurkan negeri.

Jawatankuasa dilaporkan diwujudkan Sabtu lalu itu, bagi memantapkan
fahaman dan kerjasama berasaskan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN)
Barisan Nasional (BN) atau Ikhtiar Johor, antara parti dan kerajaan
dengan rakyat.

Ia diwujudkan Badan Perhubungan UMNO Negeri dalam mesyuaratnya
dipengerusikan Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Perhubungan
dan turut dihadiri buat kali pertama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz
Ghazi sebagai ahli lantikan.

Melihatnya dari sudut positif, jawatankuasa itu landasan terbaik
buat pimpinan parti dan ketua kerajaan Johor membuat pelan terbaik dalam
merealisasikan manifesto PRN lalu, apatah lagi rakyat menantikan segala
janji dibuat ditunaikan selepas UMNO meraih kemenangan selesa.

Jawatankuasa itu juga mampu menjadi jambatan penghubung antara parti
dengan kerajaan negeri supaya segala pelan perancangan dibentangkan
pada Belanjawan Johor 2022 dilaksanakan.

Belanjawan dibentang November tahun lalu itu, menggariskan banyak
usaha pembangunan bagi merancakkan ekonomi Johor, selain bantuan kepada
golongan memerlukan.

Malah, penubuhan jawatankuasa berkenaan disambut baik pemimpin utama
parti termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
yang juga bekas Menteri Besar, selain veteran UMNO, Tan Sri Shahrir
Samad.

Shahrir menganggap penubuhan jawatankuasa itu bukan luar biasa,
malah turut berlaku pada peringkat Persekutuan apabila Naib Presiden
UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri disokong
UMNO.

Walaupun penubuhan jawatankuasa bersama UMNO Johor dengan kerajaan
negeri itu cuba diwajarkan sebagai regular, ia tetap dilihat sedikit
canggung kerana Ia seolah-olah menafikan kebolehan Onn Hafiz menerajui
pentadbiran negeri hingga perlu dibantu bagi memastikan manifesto BN
berkenaan direalisasikan.

Ia turut menimbulkan persoalan sama ada hubungan antara Hasni dengan
Onn Hafiz yang dikatakan kurang mesra adalah realiti di sebalik sembang
dan gosip politik.

Walaupun pemimpin berpengalaman UMNO, termasuk Shahrir cuba
mewajarkan penubuhan jawatankuasa bersama itu sebagai perkara biasa, ia
mencetuskan banyak tanda tanya, termasuk adakah jawatankuasa itu akan
turut berperanan membuat keputusan besar berkait pentadbiran negeri
secara bersama.

Seperti ada halangan atau dinding dalam hubungan antara Pengerusi
Perhubungan Negeri dengan menteri besar hingga sebuah jawatankuasa khas
terpaksa diwujudkan bagi memastikan pentadbiran negeri dapat
dilaksanakan.

Hal itu diakui Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains
Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM),
Mujibu Abd Muis, menyifatkan penubuhan jawatankuasa bersama itu menjadi
tanya tanya apatah lagi membabitkan pengasingan kuasa.

Katanya, perkara seperti itu tidak pernah berlaku di negara ini
apatah lagi parti sama, UMNO memenangi pilihan raya dengan selesa
menerusi PRN Johor, Mac lalu.

“Kita perlu tanya apa tujuan dan keperluan perlunya jawatankuasa
penyelarasan itu. Jika kita faham selepas diputuskan Sultan Johor,
Sultan Ibrahim Iskandar dan Hasni sendiri setuju memberi laluan, tidak
nampak perlu ada (jawatankuasa) apatah lagi ia tak pernah berlaku di
mana-mana pun.

“Di Terengganu dan Perlis apabila Sultan memutuskan menteri besar,
walaupun mereka tidak mempunyai akar umbi dalam parti, ia selesai
selepas pelantikan dilakukan.

“Barangkali Onn Hafiz sendiri beranggapan suasana politik negeri
perlu diselesaikan secara baik dan mungkin sebagai mekanisme menenangkan
keadaan suhu politik negeri seketika. Ia mungkin untuk cipta situasi
menang-menang supaya keharmonian politik negeri tercipta dan tiada
percakaran terjadi, sekali gus menjejaskan parti dan kerajaan negeri,”
katanya.

Sementara itu, seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian negeri ini yang
enggan dinamakan turut melihat pembentukan jawatankuasa itu sedikit
canggung dan di luar kebiasaan.

“Setahu saya, tiada jawatankuasa sebegini dibentuk pada peringkat
Persekutuan bagi membantu Ismail Sabri apatah lagi di Melaka atau
mana-mana negeri. Seolah-olah wujud dua nakhoda dalam satu kapal, selain
kebolehan Onn Hafiz juga seolah-olah kurang diyakini bagi
merealisasikan manifesto serta pelan pembangunan negeri,” katanya.

Apa jua telahan dan pendapat akar umbi, hanya Hasni dan Onn Hafiz
sahaja yang tahu dan memahami keperluan jawatankuasa bersama itu
diwujudkan.

Kedua-dua pemimpin perlu berjiwa besar dan memastikan jawatankuasa
itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan rakyat dan negeri menerima faedahnya,
bukan setakat hanya hangat-hangat tahi ayam, sekali gus dijadikan
landasan menunjukkan ego pemimpin.

Mohamed Farid Noh
Wartawan BH Johor

…………oo000oo………..
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat
Whatsapp
Telegram
Facebook
Emel kepada MR
Twitter
RSS

©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close