News

Jang kekal rekod tanpa kalah, rampas takhta Liga Super

PETALING JAYA: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan Liga Super selepas menumpaskan Sarawak United 2-1 malam ini, sekali gus memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menerajui liga.

Skuad bimbingan Ok. Devan mencatat empat kemenangan dan dua seri untuk mengumpul 14 mata, dua mata di depan juara bertahan, JDT yang mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Sarawak yang mencatat kemenangan pertama liga dengan menumpaskan Petaling Jaya City (PJ City) pada aksi terakhir, 23 April lalu kekal di zon penyingkiran dengan hanya mengutip empat mata daripada tujuh perlawanan.

Dalam pertembungan antara dua pendatang baharu Liga Super itu, Sarawak terlebih dulu menggembirakan penyokong tuan rumah di Stadium Negeri, Kuching dengan membuka jaringan menerusi tandukan Boris Kok pada minit ke-51.

Jaringan berpunca daripada sepakan percuma Lee Chang Hoon yang ditanduk oleh Boris untuk gol ketiganya musim ini.

Bagaimanapun juara Liga Perdana musim lalu, Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Herold Goulon pada minit ke-64.

Jaringan penyamaan itu menaikkan semangat skuad Jang untuk terus memburu gol, dan akhirnya Matheus Alves memastikan kemenangan pasukan pelawat dengan merembat gol kedua, lima minit berselang.

Sarawak terus bernasib baik apabila Sharbinee Allawee dilayangkan kad merah kerana menahan bola menggunakan tangan di luar kawasan penalti dan S. Chanturu menggantikan tempatnya sebagai penjaga gol. – UTUSAN ONLINE



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.