News

JAKIM tambah 1,000 guru takmir

KANGAR: Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menambah kuota guru takmir di seluruh negara seramai 1,000 orang menjadikan keseluruhan 5,000 pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata penambahan kuota itu dilaksanakan dalam konteks pembangunan dakwah.

“Pertambahan kuota ini melibatkan kenaikan jumlah peruntukan sebanyak RM10,800,000 setahun dan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM54,000,000 setahun,” ujarnya Ketika berucap pada Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini, semalam.

Advertisement

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail turut hadir pada majlis anjuran JAKIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) itu.

Menurutnya, bayaran khas sebanyak RM500 secara one off diteruskan lagi pada tahun ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir negeri seramai 719 orang penerima yang melibatkan peruntukan sebanyak RM359,500.

Ini, katanya bagi menghargai sumbangan mereka dalam pengimarahan masjid khususnya di negeri ini.

“Insya-Allah bayaran khas ini akan disalurkan kepada penerima sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” katanya lagi.

Di samping itu, ujar beliau caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Perkeso juga diteruskan lagi tahun ini kepada mereka dengan peruntukan RM167,383.20 setahun.

Tambahnya, peruntukan bagi imbuhan imam seramai 210 orang pula sebanyak RM2,142,000 dan elaun guru takmir seramai 129 orang berjumlah RM1,393,200 di negeri inj yang telah disalurkan pada 7 Januari lalu bagi agihan suku pertama tahun ini.

Katanya, jumlah keseluruhan peruntukan kewangan bagi imam, bilal, siak dan guru takmir negeri perlis bagi tahun ini adalah RM4,062,083.20 yang melibatkan 1,777 penerima.

Selain itu, ujarnya JAKIM juga telah melaksanakan agihan tambahan kouta guru takmir seramai 1,000 orang berdasarkan nisbah jumlah masjid dan surau di seluruh negara termasuk melebarluaskan keperluan mereka mengajar di agensi-agensi lain seperti di Institusi Penjara, Institusi Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar memenuhi keperluan dan kumpulan sasaran yang dimaksudkan.

Beliau menambah, kerajaan sangat menghargai sumbangan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam membentuk generasi dengan menyalurkan bayaran bantuan khas tahun 2022 sebanyak RM370,000 kepada 740 orang guru KAFA di negeri ini.

“Manakala jumlah peruntukan elaun guru KAFA bagi Negeri Perlis pada tahun 2022 ini adalah sebanyak RM10,182,252 yang melibatkan seramai 740 orang,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, secara keseluruhan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM14,614,335.20 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA Negeri Perlis pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close