News

Dua LRA kembali operasi, bekalan air mula pulih malam ini

SHAH ALAM: Bekalan air di 472 kawasan yang terjejas di Lembah Klang akan disalurkan secara berperingkat mulai malam ini.

Ia berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi kembali beroperasi pada pukul 3.30 petang tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedua-dua loji  yang dihenti tugas susulan pencemaran bau itu beroperasi semula selepas tiga bacaan 0 ton dicatatkan.

Katanya, insiden berkenaan kali ketiga berlaku di lokasi sama pada minggu ini.

“Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bertungkus-lumus menyelesaikan isu pencemaran secepat mungkin agar gangguan ditamatkan.

“Saya memahami kekecewaan dialami penduduk yang terkesan namun tindakan harus diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya menerusi Facebook petang tadi.

Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 3 petang tadi.

Gangguan itu ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi pukul 6.15 pagi dan 11.30 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan daerah Sepang akan melibatkan sebanyak 196 kawasan terjejas.

Daerah lain yang turut terjejas bekalan adalah Petaling iaitu sebanyak 172 kawasan diikuti Hulu Langat (54).

Manakala, daerah Putrajaya dan Kuala Langat pula masing-masing melibatkan 23 serta 27 kawasan terjejas.

LUAS sebelum itu memaklumkan insiden pencemaran dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Rondaan pukul jam 2.30 pagi tadi menemukan bau seakan diesel di kawasan Sungai Beranang dan pensampelan  menunjukkan bacaan dua ton.

Insiden itu berlaku berikutan paras sungai yang tinggi serta aliran deras daripada hujan lebat.

Ia menyebabkan pembendungan pencemaran sebelum ini memasuki sungai. – UTUSAN



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close