News

Debat Najib vs Anwar: Tidak jantan serang peribadi, yang tenang akan menang


TIDAK
sampai 24 jam lagi dua tokoh ‘gergasi’ politik
negara iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertembung di atas satu
pentas.

Debat perdana kedua-dua tokoh tersebut yang akan berlangsung pada
pukul 9 malam esok dianggap sebagai perdebatan abad ini yang telah
ditunggu-tunggu sejak keduanya menjadi seteru politik pada 1997.

Ramai yang tidak sabar untuk menonton debat yang berlangsung di
Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu
negara.

Pentas yang akan dihadiri oleh 400 penonton itu, suka atau tidak,
bakal menjadi gelanggang ‘pertarungan’ yang akhirnya akan disimpulkan
oleh rakyat – siapa lebih hebat, siapa betul dan dan siapa yang
tersungkur!

Kelebihan, kekurangan Anwar, Najib

Awal-awal lagi banyak pihak berpendapat Anwar akan menang dan kelihatan hebat sekiranya berdebat dengan Najib.

Ini kerana latar belakang Anwar sebagai bekas pemidato dan penguasaan bahasa Melayunya yang amat baik.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra
Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram berkata, tidak dapat
dinafikan Anwar seolah-olah kelihatan mempunyai kelebihan berbanding
Najib.

azlina
Dr. Norazlina Mohd Kiram

“Anwar pejuang bahasa. Dia akan gunakan kelebihan itu. Kajian saya
melibatkan teks ucapan Anwar ketika pembentangan belanjawan 1998 bahawa
dia telah menggunakan 18 peribahasa.

“Dia menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa walaupun itu ucapan
ekonomi, belanjawan, angka dan kewangan namun boleh dimasukkan dengan
peribahasa. Itu kehebatan Anwar.

“Tidak dapat dinafikan Anwar pejuang bahasa. Itu kelebihan. Najib,
melihat latar belakang pendidikan dia, mungkin dia tidak menguasai
selok-belok bahasa namun dia boleh lawan berbahas dengan Anwar,” kata
Dr. Norazlina yang aktif berpidato sejak tahun 1989.

Juri pelbagai pertandingan pidato itu berkata, hanya individu yang
berbahas dengan tenang, penuh fakta dan tidak beremosi akan mendapat
sokongan audien.

Kemungkinan, secara tidak langsung pendapat umum akan memilih dia sebagai pemenang.

Dan Najib, kata Dr. Norazlina, boleh menyaingi Anwar sekiranya sikap cool yang ditunjukkan Ahli Parlimen Pekan yang digelar Bossku, diteruskan ketika berada di atas pentas nanti.

“Kalau awak tahu bahasa Melayu dengan baik pun tidak tahu teknik berkomunikasi tidak berguna.

“Najib mungkin tidak menggunakan perkataan yang hebat macam Anwar
tetapi boleh tundukan pihak lawan dengan kematangan, ketenangan dalam
berhujah,” katanya.

Bukan anak jantan jika buat serangan peribadi

Menurut juara beberapa siri pidato termasuk Debat ASEAN 1997, Pidato
Piala Diraja Selangor 1990 dan Semarak Merdeka 2019 itu, pembahas yang
tenang boleh bercakap dengan baik dan dapat menarik perhatian penonton.

Orang yang tenang menurut Dr. Norazalina, selalunya akan dilihat
berada sebagai pihak yang benar. Ini kerana biasanya pembahas yang
tenang dapat mengeluarkan hujah secara berfakta.

“Fakta itu perlu dipermudahkan supaya khalayak yang berada dalam
pelbagai peringkat pemikiran boleh memahami. Sebab itu perlu ada
ketenangan.

“Mental dan emosi kena jaga sebab pihak lawan akan psiko dengan
pelbagai cara. Yang penting tenang. Bila tenang dia dapat sampaikan
hujah dengan baik, tidak mengeluarkan bahasa kesat dan mengeji bagi
 menjatuhkan pihak lawan,” katanya.

Antara ciri-ciri pembahas yang tidak tenang adalah penggunaan nada
suara yang sangat tinggi dan nyaring serta fakta diberikan tidak tepat
dan berpusing-pusing.

Dr. Norazalina menegaskan, sebagai pembahas penting untuk Najib dan
Anwar tidak mengunakan pentas berkenaan untuk melakukan serangan
peribadi.

Jika ada yang membuat serangan peribadi individu itu boleh dianggap sebagai pihak yang kalah dan tidak ‘jantan’.

“Satu kegagalan bila buat serangan peribadi. Jangan cakap hal
peribadi pembahas tetapi ketengahkan isu. Bila kita buat serangan
peribadi, kita sebenarnya bukan anak jantanlah.

“Debat ini bukan hendak bercakap tentang karakter Najib atau Anwar.
Tak. Kita nak bercakap mengenai usul yang dibawa. Kalau ungkit kes
mahkamah pihak lawan juga merupakan satu bentuk serangan peribadi.

“Bila kita buat serangan peribadi kita tidak profesional. Kalau kita
ada strategi dalam komunikasi kita serang dengan cara psikologi,” tegas
Dr. Norazalina.

Akhir sekali menurut Dr. Norazalina, audien ingin melihat
penggulungan Anwar dan Najib, sama ada mereka menggunakan saat yang
diberikan dengan baik atau tidak untuk merangkumkan keseluruhan
perbahasan yang dibuat.

“Yang penting dia dapat kawal emosi, bila dia tenang dia dapat sampai
hujah dengan berkesan, rasional, matang dan nampak bukan berjuang untuk
diri sendiri tetapi berjuang untuk rakyat, agama dan bangsa,” katanya.

Tiada yang menang atau kalah

Selain MalaysiaGazette, debat perdana Najib dan Anwar akan dikendalikan secara bersama dengan tiga media terpilih iaitu Astro Awani, Sinar Harian serta Sin Chew Daily.

Editor MalaysiaGazette Haslina Ar. Kamarudin dipilih sebagai moderator oleh pihak Najib dan Anwar.

Menurut Haslina dia berasa bangga kerana MalaysiaGazette
dipilih sebagai moderator dan ia merupakan satu tanggungjawab besar
terutama dalam memastikan Najib dan Anwar mengikut peraturan yang telah
ditetapkan.

“Kita ada peraturan debat. Menjadi tanggungjawab besar sebagai
moderator untuk memastikan tidak ada yang menyentuh hal peribadi,
berkaitan mahkamah dan hal yang tidak menyentuh kerangka debat.

“Sekiranya ada pendebat yang keluar daripada konteks moderator akan
menggunakan kuasa sepenuhnya untuk menyekat hujahan itu,” katanya.

MGF14112021_NAJIB-RAZAK-PRN-MELAKA_11
Haslina
ketika menemuramah Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka di Masjid Tanah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 14
NOVEMBER 2021.

Tambah Haslina, tidak
ada mana-mana pihak akan diumumkan sebagai pemenang pada akhir
perdebatan yang memakan masa selama satu jam 30 minit itu.

“Kita tidak ada juri. Debat ini bukan hendak cari siapa menang, siapa
kalah. Kita hendak dengar concept masa depan Malaysia sahaja bukan
berkaitan hal lain.

“Kedua-dua tokoh ini berpengalaman dan bijak menjawab soalan. Saya
akan jadi diri sendiri ketika menjadi moderator nanti,” tegas Haslina.

Debat Perdana Najib dan Anwar menyentuh dua perkara utama. Isu
pertama melihatkan persoalan sama ada syarikat minyak dan fuel, Sapura
Energy Bhd. perlu diselamatkan atau sebaliknya.

Persoalan kedua berkaitan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

“Debat ini melibatkan dua topik besar dan empat pusingan. Mula-mula
mukadimah, lepas itu penghujahan, soal jawab dan penggulungan.

“Untuk mukadimah dan penggulungan setiap seorang akan diberikan masa
empat minit. Untuk hujah dan menjawab soalan tiga minit diperuntukkan
bagi setiap satu.

“Hanya Najib dan Anwar akan berada di atas pentas. Tidak ada pembantu lain,” kata Haslina.

Bagi mengamalkan konsep kebebasan bersuara dan demokrasi, penonton
juga diberi ruang untuk bertanyakan soalan kepada dua pendebat
berkenaan.

Pun begitu menurutnya, audien tidak dibenarkan untuk bersorak,
bertepuk tangan dan ‘boo’ kepada pendebat sebelum, ketika dan selepas
perbahasan.

Ia bagi memastikan tidak menganggu hujah dan emosi pendebat serta
tidak mencetuskan sebarang provokasi. Pihak keselamatan seperti polis
turut dijemput untuk mengawal keadaan. – MalaysiaGazette

…………oo000oo………..
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat
Whatsapp
Telegram
Facebook
Emel kepada MR
Twitter
RSS

©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.



Source hyperlink

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close